Posted on 28/01/2010
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htmJika tak mahu bayar jangan beri pelbagai alasan...
SAYA terpanggil untuk menulis apabila terbaca komen Alangkah sukarnya untuk balik ke rumah sendiri... oleh Puan Penduduk, Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur dalam ruangan ini 22 Januari lalu.
Saya berpendapat puan sepatutnya mengaku bahawa puan memang tidak mahu bayar wang sebanyak RM50 sebulan untuk dibayar kepada pengawal keselamatan di tempat puan atau sebagai bayaran servis keselamatan yang dibuat.
Janganlah beri macam-macam alasan seperti kos minyak kereta yang akan naik sebab terpaksa pusing jauh, pengawal yang tak bertauliah dan sebagainya.
Cuma saya ingin bertanya:
1)Adakah puan melanggan ASTRO di rumah puan?
2)Adakah suami puan perokok?
Sekiranya salah satu atau kedua-dua soalan tersebut jawapannya 'Ya', maka puan sebenarnya tiada alasan langsung untuk tidak membayar wang sebanyak RM50 sebulan tersebut.
Apa yang saya cuba sampaikan ialah di tempat saya juga dilaksanakan seperti di tempat puan. Kami membayar kepada syarikat pengawal keselamatan untuk bertugas di jalan masuk ke taman. Kami juga laksanakan penggunaan sticker kenderaan supaya kenderaan yang keluar masuk boleh dipantau. Alhamdulillah penduduk di tempat saya sedar akan isu keselamatan ini.
Memang pada asalnya terdapat golongan seperti puan ini. Tapi Alhamdulillah, kita buat ziarah dan terangkan kenapa kita buat macam itu. Hasilnya Alhamdulillah sangat positif sama ada dari kaum Melayu, Cina dan juga India, terutama apabila kami menerangkan tentang statistik kejadian jenayah yang berkurangan semenjak kami gunakan perkhidmatan pengawal keselamatan.
Mungkin puan rasa kawasan puan sudah cukup selamat. Kalau betul macam itu, saya tidak boleh kata apa-apa. Tapi sebagai orang yang pernah mengalami insiden ragut di depan rumah sendiri, saya rasa bersyukur dengan keadaan sekarang. Walaupun ia tidaklah menjamin keselamatan 100 peratus tetapi sekurang-kurangnya kita telah berusaha.
Mungkin puan belum rasa lagi macam mana perasaan sekiranya anak puan dilarikan orang yang bebas keluar masuk ke taman perumahan puan.
Puan, tindakan Persatuan Penduduk rasanya tiada agenda tersembunyi. Mereka ini pentingkan keselamatan. Memang tidak dinafikan, tiada sesiapa pun ada hak untuk memaksa. Tetapi suruhlah suami puan bercampur dengan masyarakat. InsyaAllah, puan suami isteri akan sedar tentang isu keselamatan ini.
Saya rasa puan suami isteri kurang bercampur dengan penduduk di sana. Mungkin kerana kesibukan dan sebagainya. Tapi cubalah, Insya Allah puan akan faham apa yang saya cakap ini. Besok, sakit pening kita nanti bukannya orang lain yang akan tolong, jiran-jiran kita juga.
Saya tak rasa RM50 tu terlalu besar untuk puan. Kalau dibandingkan dengan duduk di apartment atau pun kondominium misalnya, lagi tinggi bayaran bulanan yang perlu dijelaskan. Apalah sangat RM 50 kalau nak dibandingkan dengan keselamatan kita anak-beranak.
Saya rasa alasan puan semua jalan ditutup menyebabkan hendak balik rumah sendiri pun payah, rasanya tidaklah sampai 10km jauhnya. Kereta apa puan guna? Kalau kereta mewah memang banyak penggunaan minyak. Tapi kalau kereta buatan nasional, InsyaAllah jimat minyak. Jangan beri pelbagai alasan sekiranya puan tak mahu bersama-sama menyumbang kepada isu keselamatan ini.
Bagi saya, di Kuala Lumpur ini, isu keselamatan adalah satu isu yang tidak boleh langsung dipandang ringan. Kepada persatuan Penduduk Bandar Sri Damansara khususnya, dan penduduk di taman-taman lain amnya, teruskan usaha baik ini.
Di tempat saya, saya bukanlah AJK Keselamatan. Tetapi saya merupakan antara mereka yang bersetuju untuk menyumbang bayaran bulanan bagi tujuan keselamatan kami bersama.
Yang penting kita jujur dalam tindakan kita. Dengan usaha yang kita buat dan tawakal kepada Allah, InsyaAllah keselamatan kita akan terjamin.
TABAN
Bandar Baru Bangi, Selangor.